Thursday, January 13, 2011

Fikir Hasilkan Lagu Berkualiti

BAKAT nyanyian yang dimiliki Ahmad Faizal Mohammad Tahir atau komersial, Faizal Tahir, 32, memang sukar dinafikan. Berbanding perjuangan seni bersama kumpulan nasyid Mirwana di awal pembabitannya suatu ketika dulu, karier Faizal lebih menyerlah menerusi solo.

Pencapaian terbaik bermula apabila menang tempat kedua pertandingan realiti, One In A Million musim pertama pada 2006. Kekalahan pada Suki ketika itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menyanyi.

Di pentas Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) tiga tahun lalu, dia mencatatkan pencapaian peribadi apabila lagu popularnya, Sampai Syurga menang kategori Balada manakala persembahannya merangkul anugerah Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik.

Pada AJL24 pula, Faizal mempertaruhkan lagu Bencinta dan berjaya di tempat ketiga dan kecemerlangannya diteruskan di AJL25 memeprtaruhkan dua lagu, Selamat Malam dan Hanyut, kolaborasinya bersama komposer Audi Mok. Kali ini, Faizal menang Persembahan Terbaik melalui Hanyut. Gandingan Faizal dan Audi di AJL sebenarnya bermula di AJL22 apabila dua lagunya, Kasih Tercipta dan Mahakarya Cinta layak ke peringkat akhir tetapi ketika itu Faizal tidak dibenarkan menyampaikan lagu itu kerana digantung selama enam bulan atas kesalahan membuka baju ketika menjayakan satu konsert anjuran 8TV.

Kehadiran Faizal setiap tahun paling dinanti-nantikan kerana sering tampil dengan elemen kejutan. Malah berdasarkan persembahannya pada malam AJL25 yang berlangsung di Stadium Putra, Bukit Jalil, Ahad lalu, ramai yang menjangka dia mampu menang. Faizal menghiburkan penonton dengan persembahan bertenaga apatah lagi gimik jatuh dalam kolam air ketika menyampaikan lagu Hanyut. Namun, keputusan juri profesional bagaimanapun mengangkat lagu Tolong Ingatkan Aku nyanyian Ana Raffali sebagai juara.

Ternyata tuah masih belum berpihak kepada mereka. Ikuti temubual wartawan Rap, ELRAFAEI SAPI (ahmadelrafaei@hemtro.com.my) bersama Faizal bercerita lanjut mengenai pengalaman di AJL25 termasuk perancangan album barunya pada tahun ini.

RAP: Bagaimana respons diterima selepas AJL25 berakhir? Apakah anda tertekan kerana tewas?

FAIZAL: Sehari selepas AJL25, saya sekadar merehatkan diri tanpa mengikuti sebarang berita di akhbar, facebook mahupun twitter. Memang pada malam itu, ramai yang bercakap soal keputusan juri. Saya sendiri terkejut dengan soalan yang diajukan wartawan kepada Ketua Juri, M Nasir dan Ana. Selepas sidang media itu, saya dengar ada yang berkata mengapa keputusan kali ini teruk.

Sejujurnya, saya tidak berpandangan sebegitu. Hakikatnya, saya hanya peserta dan bukan juri yang menentukan keputusan. Saya berpandangan muzik suatu yang subjektif seperti mana keputusan pemenang AJL25 dipilih juri. Saya percaya setiap juri mempunyai pandangan dan minat berbeza. Jika AJL25 mengambil barisan juri berlainan, sudah tentu keputusannya juga sebaliknya. Keputusan itu menandakan sudah tertulis, itu adalah rezeki mereka. Saya sendiri tidak beranggapan peserta lain yang bertanding tidak cukup bagus. Masing-masing memberikan persembahan mantap dan sebenarnya setiap penyanyi yang bertanding sudah meletakkan standard mereka pada AJL25. Soal tekanan, ia tiada langsung dalam diri saya. Sebaliknya, saya bersyukur apabila menang Persembahan Terbaik. Ketika persembahan, saya berasakan gimik Hafiz kena tembak lebih meyakinkan penonton.


RAP: Apa komen mengenai kemenangan Ana?

FAIZAL: Saya melihat ada ketika persembahan ringkas tanpa terlalu banyak gimik mampu menjadikan ia suatu yang menarik ditonton. Begitu juga, saya rasa berbaloi dengan kemenangan yang saya terima. Gimik saya jatuh dalam kolam air sebenarnya hanya dibuat pada masa pertandingan. Ketika latihan, memang saya berasa takut dan produksi berkata, jangan lakukan jika tidak yakin. Namun, saya memberanikan diri untuk lakukan aksi itu dan ia berhasil. Sungguhpun Ana menjadi juara, saya tidak berasa kecewa.

Sangkaan saya, kumpulan Meet Uncle Hussain (MUH) dan Yuna menang pada malam itu. Malah, saya rasa Yuna sepatutnya membawa pulang satu anugerah. Pada saya, kemenangan Ana bukan kejutan. Jika melihat kembali juara tahun sebelumnya seperti Estranged (2007) dan MUH (2008), masing-masing menang ketika pertama kali sertai AJL. Kali ini Ana diangkat sebagai juara. Saya percaya keputusan juri ini mahu memberi semangat dan mengiktiraf bakat muda. Ana mempunyai tarikan tersendiri yang tiada pada penyanyi lain. Walaupun ada yang samakan Ana dengan Yuna tetapi kedua-duanya berbeza. Ana lebih menampilkan ciri Melayu berbanding Yuna yang menyuntik elemen moden.


RAP: Tahun lalu, anda pernah berkata nama Faizal Tahir takkan menang mana-mana pertandingan nyanyian yang disertai. Boleh jelaskan?

FAIZAL: Tidak silap, kenyataan itu saya berikan merujuk kepada pertandingan berkonsep undian peminat seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH). Secara peribadi, saya bersyukur kerana mempunyai kelompok peminat setia yang sentiasa menyokong dan hadir pada persembahan saya di mana saja. Apa yang dilakukan mereka ini adalah suatu yang luar biasa. Peminat saya terdiri dari golongan yang lebih matang dan mungkin mereka ini jarang membabitkan diri untuk mengundi saya. Namun, dalam pertandingan sebegini, saya tidak boleh elak bertanding jika tercalon.

Sejujurnya, saya ada berbincang dengan label untuk mengambil keputusan berehat panjang. Keputusan ini diambil demi meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga. Dalam mana-mana pertandingan mahupun AJL25, sudah tentu masa lama diambil untuk membuat persiapan. Namun, saya gembira dengan sokongan yang diberikan anggota keluarga, rakan dan peminat. Buat masa ini, saya masih terfikir untuk berehat panjang tetapi belum berhasrat untuk tarik diri dalam mana-mana pertandingan.

RAP: Bagaimana anda melihat perjalanan AJL sehingga kini dan apakah format memfokuskan genre tertentu diperkenalkan kembali?

FAIZAL: Saya berpandangan AJL25 adalah produksi terbaik sepanjang pertandingan ini dianjurkan. Tidak dinafikan, setiap tahun orang mempertikai keputusan juri dan ini bukan perkara baru. Juri mempunyai kepakaran dalam membuat penilaian setiap lagu yang bertanding. Format terbuka sebenarnya mempunyai kebaikan dan keburukan pada penyanyi. Mungkin segelintir penyanyi berasa selesa kerana tiada pesaing dalam kelompoknya. Namun, apabila genre terbuka diadakan, persaingan menjadi lebih besar dan kompetitif. Aspek kekurangan pula, ada lagu lain yang sepatutnya diberi penghargaan dan anugerah tetapi bila wujud situasi seperti ini, mereka disisihkan.


Jika mahu diadakan kembali pertandingan mengikut kategori seperti sebelum ini, ia harus diteliti. Seperti genre Etnik Kreatif, saya berasakan ia sukar diterima pada generasi ketika ini. Jika mahu dipertandingkan, komposer harus mengubah suai lagu itu dengan menyuntik elemen 'fusion' yang lebih moden. Cadangan saya ini bukan mahu 'mematikan' akar umbi lagu Melayu tetapi komposer harus inovatif dalam mencipta lagu mengikut perkembangan muzik semasa.

RAP: Sebarang cadangan sebagai penambahbaikan AJL pada masa akan datang?

FAIZAL: Saya berasa sudah sampai masanya komposer baru dan lama duduk bersama dan berbincang mengenai pembangunan muzik tanah air. Pengkarya termasuk penyanyi harus memikirkan bagaimana kita dapat menghasilkan lagu berkualiti yang menaikkan prestij muzik tempatan dan bukannya hanya sibuk menyekat muzik luar negara masuk ke sini.

Bagi AJL pula, saya berpandangan kru produksi perlu mengadakan perbincangan dengan pemuzik, komposer dan penyanyi dalam menentukan hala tuju pertandingan ini. Di kesempatan ini, produksi boleh bertanyakan pada artis apakah yang mereka mahukan dalam AJL akan datang. Ini bermakna, produktiviti bekerjasama dengan pemuzik. Saya percaya AJL masih relevan untuk diteruskan pada masa akan datang.

RAP: Apakah perancangan seterusnya?

FAIZAL: Selepas AJl25, tahun ini saya merancang untuk menghasilkan album baru yang dijangka berada di pasaran pada penghujung tahun ini. Album kali ini masih menampilkan genre rock tetapi saya juga mahu membawa elemen kejutan mungkin pada lagu yang dinyanyikan. Sudah tentu, setiap album yang dihasilkan dinaikkan standard yang lebih baik.

Buat masa ini, saya bersama Audi Mok dalam proses menghasilkan lagu baru. Saya berharap album kali ini lebih berani berbanding album sebelumnya.

RAP: Mungkin Faizal berasa sudah berada di zon selesa dalam karier?

FAIZAL: Merujuk pada album baru, saya harus berani ambil risiko. Seperti album Aku.Muzik.Kamu (2007), peminat lebih senang untuk terima lagu saya. Namun, menerusi album Adrenalin (2010) saya lari dari zon selesa dengan mencuba sesuatu yang baru dalam berkarya. Sama ada soal kerjaya mahupun populariti, saya sendiri berasa belum atau tidak akan sampai di zon selesa.

Setiap kali album baru muncul, saya harus bekerja keras melakukan promosi. Sebolehnya, saya mahu usaha yang dibuat tiga tangga ke depan. Pada saya, zon selesa membuatkan seseorang penyanyi itu relaks dan tidak perlu lagi bekerja keras. Saya berharap jangan ada perasaan sebegitu dalam diri.

1 comment:

keep FAiTH always alive!